versi cetak
Senario dan limpahan pembangunan daripada Wilayah Lembah Klang yang terdiri daripada empat daerah di Selangor iaitu Petaling, Gombak, Hulu Langat dan Wilayah Persekutuan telah menyebabkan tekanan pembangunan di bahagian selatan Negeri Selangor yang terdiri daripada Daerah Kuala Langat dan Daerah Sepang. Oleh yang demikian, kedua-dua daerah ini boleh menjadi Wilayah Lembah Klang 2, sekiranya pembangunan kawasan ini dapat dirancang dari awal dan pelaksanaannya dibuat secara berperingkat-peringkat, dengan mengambil kira Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS), konsep pembangunan yang mapan, potensi di kawasan Koridor Raya Multimedia dan limpahan pembangunan dari Putrajaya.
Konsep pembangunan spatial yang berteraskan “Multiple Strands Development Corridor” ini menunjukkan bahawa pembangunan yang intensif dan menyeluruh yang berlaku di Negeri Selangor dalam tempoh RMK8 akan berterusan dalam RMK9. Pembangunan intensif ini berlaku kerana Kerajaan Negeri telah memutuskan bahawa kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi perlu dikekalkan di Negeri Selangor dalam usaha menjadikan negeri ini maju dan terkehadapan.
Projek Wilayah Lembah Klang 2 ini merupakan satu langkah alternatif Kerajaan Negeri Selangor bagi menampung pembangunan yang semakin pesat di kawasan bandar. Ia meliputi kawasan Sepang dan kawasan Kuala Langat dan dengan adanya projek ini secara tidak langsung dapat memajukan kawasan luar bandar serta dapat mengurangkan kepadatan penduduk di kawasan bandar akibat daripada pembangunan yang semakin berkembang dan pesat.
Dalam tempoh ini juga, Kerajaan Negeri tidak berhasrat untuk membuka bandar-bandar baru kecuali di kawasan Lembah Klang 2 yang menumpukan pembangunan pesisiran pantai Morib-Kelanang, Gold Coast di Sepang dan Projek Tebatan Banjir di Kuala Langat. Di samping itu, Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan potensi pembangunan di kawasan Koridor Raya Multimedia dan mengeksploitasi potensi yang wujud dari limpahan pembangunan KLIA dan Cyberjaya di kawasan Lembah Klang 2.
Menyedari akan kepentingan Wilayah Lembah Klang 2 dalam pembangunan masa depan, Kerajaan Negeri Selangor telah memberikan perhatian khusus untuk menyelaraskan segala bentuk pembangunan yang bersesuaian tanpa berlakunya kesan negative di kemudian hari. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri Selangor yang telah bersidang pada 19 Julai 2005 secara dasarnya telah membuat pertimbangan dan bersetuju untuk melaksanakan perancangan Wilayah Lembah Klang Kedua yang meliputi Daerah Sepang dan Kuala Langat dilaksanakan oleh pentadbiran Kerajaan Negeri.
Daerah-daerah Wilayah Lembah Klang 2 ini diurus tadbir oleh dua (2) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti berikut:
- Daerah Sepang: Majlis Perbandaran Sepang (MPSp)
- Daerah Kuala Langat: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL)
|