|
versi cetak
CYBERJAYA
Dunia kini sedang melalui perubahan pesat dari ekonomi pembuatan ke ekonomi pengetahuan iaitu K-Ekonomi. Jelas bahawa daya saing sesebuah negara bergantung kepada penggunaan teknologi maklumat (IT).
Kerajaan Malaysia amat mengalu-alukan perubahan dalam bidang ini dan telah mengenal pasti IT sebagai enjin pertumbuhan dalam usaha mencapai status sebagai sebuah negara maju. Satu Pelan Induk bagi perkembangan industri IT telahpun dihasilkan, dan komponen kritikal rancangan ini ialah pengwujudan Koridor Raya Multimedia atau MSC.
MSC merangkumi keluasan kawasan 15 km x 50 km, menganjur dari KLCC di utara ke KLIA di selatan, di mana Cyberjaya dan Putrajaya terletak di antara kedua kawasan ini. Kawasan seluas 750 km ini adalah sama besar dengan Singapura, dan merupakan satu kawasan yang sesuai dijadikan sebagai pangkalan industri IT yang kukuh, sebelum ianya diperluaskan kepada lain-lain kawasan di Malaysia.
Kemudahan MSC menawarkan persekitaran fizikal, perundangan dan kewangan yang sesuai bagi membolehkan syarikat-syarikat IT menyediakan produk dan perkhidmatan yang boleh dipasarkan di pasaran dunia. Selain daripada infrastruktur yang baik, MSC juga mempunyai undang-undang siber untuk melindungi harta intelek syarikat-syarikat IT tersebut. Bagi syarikat yang menerima status MSC, terdapat insentif seperti status bebas cukai sehingga 10 tahun, import peralatan tanpa cukai dan pengambilan pekerja IT asing tanpa had.
Cyberjaya - Bandaraya Pintar Dunia
Seperti yang telah dinyatakan, Cyberjaya merupakan nadi kepada MSC, dan segalanya bermula di Cyberjaya. Pembangunan Cyberjaya kini telah dilaksanakan dengan pesat. Infrastruktur IT bertaraf dunia seperti rangkaian fiber optic telah pun disediakan. Jalan raya utama juga telah dibina bagi memberikan kemudahan laluan bagi penduduk ke bandar berdekatan. Express Rail Link yang menghubungkan KL Sentral dan KLIA, berakhir di hentian Putrajaya dan kemudahan bas “feeder” disediakan untuk ke Cyberjaya.
Sehingga penghujung 2006, sebanyak 400 syarikat telah beroperasi di Cyberjaya. Syarikat-syarikat seperti NTT dan TMNet beroperasi di bangunan mereka sendiri. Syarikat-syarikat utama yang lain seperti DHL, HSBC, Shell, BMW, EDS, Motorola, Ericsson, dan Nokia pula menjalankan operasi mereka di bangunan yang disewa keseluruhannya, manakala syarikat-syarikat yang lebih kecil beroperasi dari bangunan pejabat yang telah siap dibina (sebagai contoh, Century Square).
Di luar negara, terdapat projek yang serupa yang mampu bersaing dengan Cyberjaya. Namun demikian, pakar-pakar industri mempersetujui bahawa Cyberjaya lebih jauh ke hadapan berbanding dengan projek-projek seperti Cyberport di Hong Kong dan Singapura.
Antara kemudahan-kemudahan yang telah siap sepenuhnya di Cyberjaya termasuklah Universiti Multimedia, Kolej Universiti Teknologi Kreatif Lim Kok Wing (“Lim Kok Wing University College of Creative Technology”), blok-blok pejabat Century Square, ibu pejabat MDC, Cyberview Lodge Resort and Spa, bangunan-bangunan keusahawanan (”Enterprise Buildings”), sekolah bestari, terminal pengangkutan, Cyberpark, inkubator pusat dan ”Street Mall”.
Pelbagai lagi kemudahan sedang dibina seperti kompleks sukan, Pusat tele-perubatan dan Padang Golf 18 lubang.
|
|