|
versi cetak
Lokasi
Daerah Sepang pada asalnya hanyalah sebuah daerah terpencil di Negeri Selangor yang jarang-jarang diperkatakan mahupun disinggahi. Kini, dengan terjananya sebuah wawasan iaitu Projek Wilayah Lembah Klang 2, Sepang berkembang menjadi nadi di mana bertunasnya satu demi satu mercu tanda dan projek-projek nasional yang berupaya menganjakkan Malaysia ke alaf baru setanding dengan negara-negara maju.
Daerah Sepang mempunyai keluasan 59,966 hektar yang dibahagikan kepada tiga mukim iaitu Mukim Dengkil seluas 29,395 hektar, Mukim Labu seluas 29,395 hektar dan Mukim Sepang berkeluasan 20,441 hektar. Ketiga-tiga mukim ini mempunyai 19 buah kampung dan 4 buah kampung baru. Oleh kerana pertumbuhannya yang pesat, daerah Sepang kini mempunyai kira-kira 50% kawasan tanah pertanian yang dibangunkan berbanding dengan 80% pada tahun 1990. Sepang telah benar-benar bertukar wajah akibat pertumbuhan pembangunan yang amat agresif.
Dari segi kegunaan tanah, sebelum pengambilalihan tanah di bawah projek KLIA, Pusat Pentadbiran Putrajaya dan Cyberjaya, syarikat perladangan adalah merupakan pengguna tanah yang terbesar di Daerah Sepang. Ia meliputi kira-kira 43 peratus atau 65,384 ekar yang dimiliki oleh 14 buah ladang. Sementara itu, jumlah pemilikan tanah persendirian termasuk pekebun kecil pula adalah sekitar 37,064 ekar (24 peratus). Lain-lain kegunaan tanah adalah untuk Rizab Orang Asli, Hutan Simpan, Rancangan-rancangan Tanah, Lombong, projek Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri dan lain-lain. Baki kawasan adalah tanah Kerajaan dan lain-lain simpanan iaitu 15,724 ekar.
Pada masa kini, tiga (3) projek Mega Kerajaan Persekutuan iaitu KLIA, Putrajaya dan Cyberjaya telah meliputi kira-kira 28% daripada keluasan kawasan Daerah ini iaitu, KLIA (25,000 ekar); Putrajaya (10,848 ekar); dan Cyberjaya (7,000 ekar).

|
|