|
versi cetak
Secara amnya, bentuk muka bumi Wilayah Lembah Klang 2 (Daerah Sepang dan Kuala Langat) terbahagi kepada tiga bahagian utama iaitu kawasan berbukit dan tanah tinggi, tanah rendah dan pesisiran pantai. Di kawasan ini juga terdapat lembangan Sungai Langat yang merupakan kawasan tadahan dan menjadi sumber bekalan air mentah di wilayah ini. Lembangan Sungai Langat juga berfungsi sebagai mekanisme kawalan banjir, kawalan hakisan tanah, mengekalkan kesuburan tanah dan pemuliharaan biologi. Sungai Langat dan Sungai Sepang yang terletak di Wilayah Lembah Klang 2 juga sejak sekian lama berfungsi sebagai sistem pengairan permukaan untuk pengairan kawasan pertanian di kedua-dua daerah ini.

Dari segi guna tanah, corak guna tanah di Wilayah ini dibahagikan kepada dua bahagian utama iaitu kawasan tepu bina dan bukan tepu bina. Guna tanah tepu bina terdiri daripada guna tanah
kediaman, industri, perniagaan, institusi, tanah lapang dan rekreasi, pengangkutan, infrastruktur dan utiliti. Guna tanah bukan tepu bina pula terdiri daripada guna tanah pertanian, hutan, tanah kosong, sungai dan lain-lain badan air. Pembangunan fizikal yang pesat di kawasan Wilayah Lembah Klang 2 telah mempengaruhi corak dan taburan jenis guna tanah. Secara keseluruhannya, corak guna tanah di Daerah Sepang dan Kuala Langat adalah didominasi oleh guna tanah hutan (40.11%) dan pertanian (39.64%). Kawasan tepu bina pula hanya meliputi kira-kira 18% daripada keluasan Negeri Selangor.
Pada masa kini, senario pembangunan di Wilayah Lembah Klang 2 menunjukkan bahawa pembangunan perbandaran telah berkembang ke Daerah Sepang selaras dengan pembangunan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Koridor Raya Multimedia. Dalam konteks pembangunan Wilayah Lembah Klang 2, perancangan pembangunan bagi kawasan di luar kawasan perbandaran perlu ditekankan bagi mengimbangi kepesatan pembangunan di kawasan perbandaran serta mengelakkan ketidakseimbangan sosioekonomi, pembangunan sosial dan infrastruktur. Selaras dengan ini, bagi Daerah Kuala Langat penekanan pembangunan desa mapan perlu selari dengan strategi
pembangunan mapan Negeri Selangor. |
|