versi cetak
Ucap Utama YAB Dato' Menteri Besar Selangor
Marilah kita bersama-sama memanjatkan rasa kesyukuran kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan izin-Nya dapat kita sama-sama berkumpul pada pagi ini dalam ikhtiar kita merencana masa depan yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang untuk warga Selangor dan Negeri Selangor Darul Ehsan melalui Bengkel Pelaksanaan Pembangunan Wilayah Lembah Klang Kedua (WLK 2) anjuran UPEN Selangor bersama Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi Malaysia.
Penganjuran bengkel ini merupakan langkah strategik yang penting dalam memulakan era pembangunan pasca negeri maju. Sebagaimana tuan-tuan dan puan-puan maklum pada bulan Ogos 2005 yang lalu, negeri Selangor telah pun mencapai status negeri maju yang pertama di Malaysia.
Pencapaian status negeri maju, bukanlah satu noktah yang menandakan tamatnya usaha mencipta kemakmuran sebaliknya ia menandakan satu permulaan kepada usaha menangani cabaran-cabaran baru yang dihadapi, kita bukan sahaja berhasrat untuk mempertahankan status maju malahan kita bertekad untuk memperkukuhkan lagi pencapaian kita. Kita akan sentiasa mengukur pencapaian negeri Selangor melalui 75 indikator yang dibina pihak NPC berdasarkan model kajian daya saing IMD.
Dalam kita merancang dan melaksanakan pembangunan pasca maju ini cabaran yang paling hebat yang terpaksa kita hadapi adalah fenomena globalisasi. Dalam era globalisasi ini kita menyaksikan bahawa kehidupan kita dan aktiviti ekonomi kian berintegrasi dengan sistem ekonomi global yang mana banyak faktor-faktor penentunya adalah di luar kawalan kita.
Globalisasi telah menyebabkan persaingan dalam perdagangan dan pelaburan antarabangsa menjadi semakin kompetitif. Bagi sesetengah negara fenomena ini telah membawa kepada peningkatan pembangunan dan kemakmuran, manakala bagi sesetengah negara pula ia menyebabkan kesan yang negatif apabila aktiviti ekonomi dan ruang ‘spatial’ tidak dapat bersaing sehingga berlakunya perpindahan keluar pelaburan dan penghijrahan keluar tenaga buruh.
Dalam konteks ini merancang strategi-strategi untuk bertindak sangat penting supaya keupayaan dan sumber terhad yang ada ini dapat digembleng sebaik mungkin dalam memenangi persaingan, mendapatkan faedah secara optimum dan menangani implikasi dan kesan-kesan negatif secara bijak.
Kepentingan Memperkukuhkan Wilayah Metropolitan
Dalam trend ekonomi semasa, pusat penumpuan pembangunan ekonomi adalah wilayah-wilayah tertentu dalam negara dan bukannya negara keseluruhannya. Wilayah-wilayah metropolitan dan konurbasi di ruang-ruang antarabangsa bersaing sengit untuk menarik pelaburan global dengan menggunakan faedah bandingan yang dimiliki, seperti infrastruktur yang cekap, tarikan budaya dan tenaga kerja yang berkualiti. Dalam strategi persaingan ini, penumpuan diberikan bagi membangunkan dan memperkukuhkan kawasan-kawasan yang sedia ada maju dan berdaya saing.
Dalam konteks negeri Selangor, kerajaan negeri berpendapat memperkukuhkan pembangunan di Lembah Klang adalah suatu yang strategik untuk negeri dan negara. Pandangan ini adalah selaras dengan Rancangan Fizikal Negara yang memberikan tumpuan kepada pembangunan beberapa konurbasi utama termasuk konurbasi Kuala Lumpur - Lembah Klang, konurbasi George Town, Johor Bahru dan Kuantan.
Dalam konteks pembangunan konurbasi Kuala Lumpur - Lembah Klang ini, kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk memberikan tumpuan kepada daerah Sepang dan Kuala Langat yang bersempadan dengan Wilayah Lembah Klang.
Kawasan ini telah mempunyai asas infrastruktur yang canggih dengan perlaksanaan projek-projek mega di dalam dan sekitarnya, seperti Multimedia Super Corridor, pusat pentadbiran persekutuan di Putrajaya, Cyberjaya dan KLIA, mengalami tekanan pembangunan yang tinggi dengan kebanjiran cadangan-cadangan projek mega sektor swasta dan masih terdapat tanah-tanah yang sesuai untuk pembangunan masa depan. Kedua-dua daerah tersebut kita namakan sebagai Wilayah Lembah Klang Kedua (WLK2).
Peranan Wilayah Lembah Klang II Dalam Mencapai Wawasan Pasca Negeri Selangor Maju
Perancangan dan pembangunan wilayah ini dijangka akan menyumbang kepada memperkukuhkan pencapaian Wawasan Negeri Selangor Maju di samping meningkatkan posisi wilayah metropolitan Kuala Lumpur - Lembah Klang untuk muncul sebagai salah sebuah bandar raya metropolitan yang penting dalam rangkaian bandar raya dunia.
Pembangunan Wilayah Lembah Klang II mempunyai 3 misi utama iaitu:
- Penjana pertumbuhan kepada wilayah sekitarnya dalam konteks integrasi ekonomi global-local (glocal)
- ‘gateway’ kepada kemasukan business dan pengunjung antarabangsa
- Menjadi tempat pilihan lokasi firma dan pejabat wilayah perbadanan antarabangsa berteraskan ICT
1. Wilayah Lembah Klang II Sebagai Penjana Pertumbuhan
Kita sedia maklum bahawa pelabur-pelabur yang datang ke negara kita mempunyai motif utama untuk memperoleh keuntungan. Oleh itu, faktor utama untuk memastikan Wilayah Lembah Klang 2 berdaya saing ialah dengan menyediakan persekitaran yang kondusif untuk pelaburan dan persekitaran kehidupan yang berkualiti bagi para pekerja, termasuk ekspatriat. Walau bagaimanapun, dalam menyediakan ruang dan perkhidmatan yang kondusif untuk pelaburan kita tidak mahu Wilayah Lembah Klang 2 ini hanya menjadi ”pentas pelonggokan” kekayaan bagi pelabur-pelabur asing. Wilayah Lembah Klang 2 perlu menjadi ”penjana pertumbuhan” iaitu faedah-faedah daripada pertumbuhan perlu diagihkan secara berimbang kepada pengusaha dan penduduk tempatan dan sekitarnya. Kemasukan pelaburan asing bukan sahaja menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan tetapi juga menjanakan peluang ekonomi kepada pengusaha tempatan melalui pengintegrasian antara aktiviti ekonomi global dengan tempatan. Sebagai contoh, langkah KLIA Berhad baru-baru ini menyediakan peluang bagi pengusaha tempatan memasarkan produk tempatan/kampung di KLIA telah meluaskan pasaran dan jaringan ekonomi tempatan dan global. Adalah diharapkan dalam bengkel ini banyak lagi langkah-langkah boleh difikirkan bagi memastikan faedah yang lebih meluas diperoleh daripada pembangunan di Wilayah Lembah Klang 2.
2. Wilayah Lembah Klang II Sebagai ‘Gate Way’ Kemasukan ‘Business’ Dan Pengunjung
KLIA adalah infrastruktur penting melonjakkan daya saing negara kita dalam arena antarabangsa, termasuk menarik pelaburan dan pelancongan. Peranan KLIA bukan sahaja sebagai pintu masuk pengunjung antara bangsa, tetapi juga kepada para pelabur asing dan barangan perdagangan. Peranan klia akan dapat diperkukuhkan lagi dengan perancangan yang berintegrasi dengan sektor-sektor lain, seperti perkhidmatan pengangkutan awam, perkhidmatan perniagaan, agensi pelancongan, agensi pelaburan, perkhidmatan awam dan sebagainya. Kita percaya dengan ‘networking’ dan kerjasama antara semua pihak yang berkaitan, keupayaan KLIA untuk bersaing dengan lapangan terbang utama di Asia Pasifik ini akan lebih kukuh.
3. Wilayah Lembah Klang II Sebagai Pilihan Pelaburan ICT
Dalam memainkan peranan sebagai tempat pilihan pelaburan, di samping penyediaan infrastruktur yang canggih di MSC, adalah amat penting kita menyediakan persekitaran kehidupan di Wilayah Lembah Klang 2 yang berkualiti. Ini termasuk menyediakan persekitaran yang sesuai untuk budaya kosmopolitan, terutamanya dalam konteks gaya hidup yang sihat, kepelbagaian kemudahan untuk rekreasi, kemudahan pendidikan antarabangsa, penggunaan laluan basikal dan sebagainya.
Dalam perancangan persekitaran yang berkualiti, antara aset yang perlu diberikan perhatian ialah penggunaan sumber sungai dan pantai. Di negara kita pada masa lalu sumber sungai tidak begitu diberikan perhatian dalam pembangunan. Sungai-sungai menjadi tempat penyaluran bahan buangan dan tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Ini berbeza di negara maju, di mana sungai-sungai telah dieksploitasi secara optimum. Potensi kepelbagaian gunaan sungai telah diberikan perhatian khusus dalam perancangan. Contohnya, di London, pembangunan rangkaian sungai telah diberikan tumpuan khusus dengan strategi yang dinamakan ‘blue ribbon network’. Kerajaan negeri berpendapat strategi seperti ini boleh diterima pakai dalam membangunkan sumber sungai di Wilayah Lembah Klang 2, di mana di samping pemeliharaan bio-diversiti, sungai juga perlu dimanfaatkan untuk aktiviti rekreasi, pelancongan, pengangkutan air dan aktiviti ekonomi lain yang sesuai.
Menyedari bertapa pentingnya peranan Wilayah Lembah Klang 2 dalam pembangunan masa depan negara, pihak kerajaan Negeri Selangor telah memberikan perhatian khusus untuk menyelaraskan dan membangunkan Wilayah Lembah Klang 2. Penyediaan Pelan Tindakan Wilayah Lembah Klang 2 adalah langkah strategik yang diambil bagi memastikan pembangunan di Wilayah Lembah Klang 2 kelak berjalan lancar dan selaras dengan wawasan negeri dan negara. Kerajaan negeri juga bersama Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia dengan Majlis Perbandaran Sepang telah memulakan penyediaan Rancangan Tempatan Daerah Sepang. Ianya adalah selaras dengan peruntukan Seksyen 12(1) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172). Penyediaan Rancangan Tempatan Daerah Sepang ini akan menjadi dokumen penting bersama Pelan Tindakan Wilayah Lembah Klang 2 ini. Bengkel ini akan menjadi input penting daripada ‘stakeholders’ bagi menyediakan pelan tindakan perlaksanaan pembangunan di Wilayah Lembah Klang 2 dan Rancangan Tempatan Daerah Sepang.
Akhir kata saya ingin merakamkan ribuan terima kasih di atas kesudian pihak tuan-puan untuk menyertai bengkel ini dan membantu kerajaan negeri dalam memberikan input penting bagi menjayakan pembangunan negeri Selangor dan negara amnya.
Saya juga mengucapkan syabas kepada semua pihak yang terlibat dalam menganjurkan majlis ini termasuk UPEN Negeri Selangor, Universiti Teknologi Malaysia, JPBD Negeri Selangor, Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Daerah Kuala Langat, Multimedia Development Corporation, Cyberview Sdn Bhd, Malaysia Airport Holdings Berhad, Telekom Malaysia Berhad dan agensi-agensi lain.
Dengan lafaz BISMILAHI RAHMANIR RAHIM, saya dengan ini merasmikan Bengkel Pelaksanaan Pembangunan Wilayah Lembah Klang 2.

DATO’ SERI DR. MOHAMAD KHIR BIN TOYO
YAB DATO' MENTERI BESAR SELANGOR
|