MUKA UTAMA  |  HUBUNGI KAMI  |  PETA LAMAN
 
Bengkel
 
Ucap Utama YAB Dato' Menteri Besar
Kata-Kata Aluan YB Setiausaha Kerajaan Negeri
Laporan
Wawancara
Senarai Penerbitan
   
 

versi cetak

Kata-kata Aluan Oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor

Syukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, ”Prosiding Wilayah Lembah Klang Kedua” telah dapat diterbitkan dengan jayanya. Penerbitan prosiding ini adalah hasil daripada perbincangan dan perkongsian maklumat pada Bengkel Pelaksanaan Pembangunan Wilayah Lembah Klang Kedua (WLK2) anjuran bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN) dengan Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi Malaysia.

Penerbitan ”Prosiding Wilayah Lembah Klang 2” adalah amat penting bagi Kerajaan Negeri Selangor dalam usaha bagi memastikan pelaksanaan pembangunan di Wilayah Lembah Klang 2, berjalan dengan lancar dan selaras dengan dasar-dasar negeri dan negara. Dengan penglibatan daripada semua pihak, banyak idea telah dibincangkan termasuk maklum balas mengenai isu pelaksanaan projek dan perjalanan ‘business’.

Justeru itu, prosiding yang terhasil daripada bengkel ini akan kita berikan perhatian yang serius dan tindakan-tindakan susulan akan dilaksanakan setelah ia diteliti dan diperhalusi oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN). Sesuatu rancangan itu, tidak memberi makna sekiranya tidak diikuti dengan pelaksanaan dan tindakan. Lazimnya, kegagalan perancangan-perancangan strategik yang dibuat adalah kerana kurangnya penekanan terhadap kajian terperinci yang boleh menimbulkan pelbagai masalah pelaksanaan. Ini termasuk keperluan`stakeholders’ atau pelaksana pembangunan, sumber kewangan dan kemampuan organisasi.

Dengan itu, teori dan perancangan-perancangan strategik hendaklah diberi keutamaan, tumpuan dan penekanan agar strategi dan pelaksanaan adalah seiring seperti dalam sesuatu pendekatan “Balance Score Card” yang memperincikan elemen pengukuran,’target’, inisiatif tindakan dan kewangan dalam sesuatu perancangan strategik.

Dalam konteks perancangan wilayah pendekatan ‘communicative planning’ yang lebih meluas diguna pakai di negara maju menekankan aspek-aspek pelaksanaan melalui komunikasi dan perundingan dengan ‘stakeholders’. Organisasi yang rancang perlu menjalin ‘networking’ dengan ‘stakeholders’, mengadakan perbincangan atau rundingan bagi memastikan strategi dan tindakan semua pihak dapat diselaraskan.Dengan ini akan wujud situasi/suasana saling memahami akan perbezaan nilai dan keutamaan serta halangan-halangan yang wujud sebelum sesuatu pelaksanaan dibuat Prosiding yang terhasil ini adalah selaras dengan kerangka perancangan yang terkini yang bertujuan untuk mengambil kira pandangan, keperluan dan masalah-masalah yang dihadapi oleh ‘stakeholders’ dalam pelaksanaan pembangunan. Lazimnya, keberkesanan pelaksanaan suatu dasar atau menangani sesuatu masalah bergantung kepada tiga faktor :

  • Sifat permasalahan yang kita hadapi.
  • Faktor-faktor berkaitan sumber dan perundangan.
  • Faktor-faktor bukan perundangan.

Masalah-masalah yang kecil dan tidak melibatkan banyak pihak lazimnya, lebih mudah untuk kita atasi seperti masalahmasalah pentadbiran di pejabat, seperti kekurangan peralatan, tenaga kerja dan prosedur. Masalah yang rumit adalah masalah berkaitan dengan masyarakat, seperti pencemaran sungai, pembangunan usahawan dan mewujudkan masyarakat yang berdisiplin dan cemerlang.Contohnya, penyelesaian masalah pencemaran sungai bukan sahaja memerlukan penyelarasan dan kerjasama pelbagai agensi pelaksana, tetapi memerlukan perubahan sikap masyarakat secara menyeluruh.

Lazimnya, keberkesanan pelaksanaan suatu dasar atau menangani sesuatu masalah bergantung kepada tiga faktor :

  1. Sifat permasalahan yang kita hadapi
  2. Faktor-faktor berkaitan sumber dan perundangan
  3. Faktor-faktor bukan perundangan

Masalah-masalah yang kecil dan tidak melibatkan banyak pihak lazimnya, lebih mudah untuk kita atasi seperti masalah-masalah pentadbiran di pejabat, seperti kekurangan peralatan, tenaga kerja dan prosedur. Masalah yang rumit adalah masalah berkaitan dengan masyarakat, seperti pencemaran sungai, pembangunan usahawan dan mewujudkan masyarakat yang berdisiplin dan cemerlang. Contohnya, penyelesaian masalah pencemaran sungai bukan sahaja memerlukan penyelarasan dan kerjasama pelbagai agensi pelaksana, tetapi memerlukan perubahan sikap masyarakat secara menyeluruh.

Di samping itu juga, ia melibatkan kos yang tinggi bagi memulihkan pencemaran sedia ada, merawat dan mengurus sisa-sisa buangan. Sumber kewangan adalah penting dalam melaksanakan sesuatu pembangunan. Dalam mewujudkan persekitaran berkualiti, kita perlukan sumber kewangan yang kukuh.

Selain sumber kewangan daripada kerajaan, penglibatan lain-lain sektor seperti pihak swasta juga sama penting dalam pembangunan persekitaran yang berkualiti. Ini termasuk membangunkan kawasan kawasan tepian sungai, persisiran pantai dan kawasan-kawasan terbiar. Penggemblengan usaha pelbagai pihak ini memerlukan satu formula yang sesuai supaya terdapat ‘win-win situation’ dalam pelaksanaan pembangunan.

Sesungguhnya kejayaan sesuatu pembangunan dan kekuatan suatu bangsa pada asasnya bergantung pada sumber manusia yang berkualiti. Dalam pemikiran Muhammad Iqbal, contohnya, kekuatan suatu bangsa dilihat bergantung pada penguasaan terhadap ilmu Sains dan Seni, kehidupan rakyat yang berdisiplin, terurus dan aktif.

Untuk melaksanakan pembangunan kita memerlukan tenaga kerja yang mempunyai, mengamalkan dan menguasai ilmu seperti ilmu sains, teknologi dan seni yang bersesuaian dengan keperluan tempat dan peredaran masa di samping mempunyai nilai dan etika yang luhur.

Saya berharap, Prosiding Wilayah Lembah Klang Kedua ini dapat menyediakan input penting dalam usaha membina satu kerangka yang komprehensif dalam melaksanakan pembangunan di Wilayah Lembah Klang 2 dan memacu pembangunan Negeri Selangor pada masa depan. Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam memberikan input sehingga terhasilnya Prosiding Wilayah lembah Klang Kedua termasuk Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN), Universiti Teknologi Malaysia, Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri Selangor (JPBD), Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Daerah Kuala Langat, Multimedia Development Corporation, Cyberview Sdn. Bhd, Malaysia Airport Holdings Berhad dan agensi-agensi lain. Semoga segala sumbangan yang diberikan akan diberkati Allah s.w.t dan seterusnya dapat dimanfaatkan bagi merancakkan lagi pembangunan Negeri Selangor.

Dato’ Ramli Bin Mahmud
YB Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor


 
Sila emel sebarang makluman anda ke admin@wlk2.com atau klik di sini.
Portal Negeri Selangor
MP Sepang
MD Kuala Langat
Laman Web MB
© Hakcipta Terpelihara 2007 | Unit Perancangan Ekonomi Negeri Selangor Darul Ehsan
Kerajaan Negeri Selangor tidak bertanggungjawab terhadap apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat, atau daripada kecacatan atau kesilapan kandungan di dalam laman web ini.