MUKA UTAMA  |  HUBUNGI KAMI  |  PETA LAMAN
 
Bengkel
Laporan
Wawancara
Senarai Penerbitan
   
 

versi cetak

Pelaksanaan Pembangunan Wilayah Lembah Klang Kedua
(Daerah Sepang dan Daerah Kuala Langat)

Tarikh : 20 Ogos 2007.
Masa : 10.00 pagi.
Tempat : Tingkat 13, Bangunan SSAAS, Shah Alam.

Wawancara bersama :
Y.Bhg. Dato’ Noordin Bin Sulaiman
Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor Darul Ehsan

APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN WILAYAH LEMBAH KLANG KEDUA?

Kawasan perancangan Wilayah Lembah Klang 2 (WLK 2) meliputi dua daerah di bahagian selatan Negeri Selangor, iaitu Daerah Sepang dan Kuala Langat dengan keluasan hampir 142 ribu hektar. Kedua-dua daerah ini telah menerima kesan langsung daripada limpahan pembangunan di Kuala Lumpur dan Lembah Klang dan menjadi tumpuan kepada pelaburan. Perlaksanaan projek-projek mega di dalam dan sekitarnya, seperti Multimedia Super Corridor (MSC), Pusat Pentadbiran Persekutuan di Putrajaya, Cyberjaya, KLIA dan sebagainya telah menjadikan perancangan Wilayah Lembah Klang 2 sangat penting dalam konteks Negeri Selangor dan negara pada masa depan. Ini memandangkan kedua-dua daerah yang terlibat ini bakal menjadi kawasan baru bagi perkembangan Wilayah Metropolitan Kuala Lumpur-Lembah Klang sedia ada. Kewujudan infrastruktur yang canggih di MSC dan KLIA telah membina kekuatan baru kawasan ini untuk berkembang dan bersaing.

Keseluruhan kawasan Lembah Klang 2 telah diwartakan sebagai kawasan Pihak Berkuasa Tempatan di mana Majlis Perbandaran Sepang menguruskan pembangunan seluruh daerah Sepang dan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) menguruskan Pentadbiran di seluruh daerah Kuala Langat.

APAKAH PERANAN WILAYAH LEMBAH KLANG KEDUA DALAM PEMBANGUNAN NEGERI SELANGOR?

Perancangan dan pembangunan wilayah ini dijangka akan menyumbang kepada memperkukuhkan pencapaian Wawasan Negeri Selangor Maju di samping meningkatkan posisi wilayah metropolitan Kuala Lumpur - Lembah Klang untuk muncul sebagai salah sebuah bandar raya metropolitan yang penting dalam rangkaian bandar raya dunia.

Pembangunan Wilayah Lembah Klang 2 mempunyai 3 misi utama iaitu :

1.Penjana pertumbuhan kepada wilayah sekitarnya dalam konteks integrasi ekonomi global- local (glocal).
2. ‘Gateway’ kepada kemasukan business dan pengunjung antarabangsa.
3. Menjadi tempat pilihan lokasi firma dan pejabat wilayah perbadanan antarabangsa berteraskan ICT.


1. Wilayah Lembah Klang II Sebagai Penjana Pertumbuhan

Kita sedia maklum bahawa pelabur-pelabur yang datang ke negara kita mempunyai motif utama untuk memperoleh keuntungan. Oleh itu, faktor utama untuk memastikan Wilayah Lembah Klang 2 berdaya saing ialah dengan menyediakan persekitaran yang kondusif untuk pelaburan dan persekitaran kehidupan yang berkualiti bagi para pekerja, termasuk ekspatriat. Walau bagaimanapun, dalam menyediakan ruang dan perkhidmatan yang kondusif untuk pelaburan kita tidak mahu Wilayah Lembah Klang 2 ini hanya menjadi ”pentas pelonggokan” kekayaan bagi pelabur-pelabur asing. Wilayah Lembah Klang II perlu menjadi ”penjana pertumbuhan” iaitu faedah-faedah daripada pertumbuhan perlu diagihkan secara berimbang kepada pengusaha dan penduduk tempatan dan sekitarnya. Kemasukan pelaburan asing bukan sahaja menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan tetapi juga menjanakan peluang ekonomi kepada pengusaha tempatan melalui pengintegrasian antara aktiviti ekonomi global dengan tempatan. Sebagai contoh, langkah KLIA Berhad baru-baru ini menyediakan peluang bagi pengusaha tempatan memasarkan produk tempatan/kampung di KLIA telah meluaskan pasaran dan jaringan ekonomi tempatan dan global. Adalah diharapkan dalam bengkel ini banyak lagi langkah-langkah boleh difikirkan bagi memastikan faedah yang lebih meluas diperoleh daripada pembangunan di Wilayah Lembah Klang 2.


2. Wilayah Lembah Klang 2 Sebagai ‘Gate Way’ Kemasukan ‘Business’ Dan Pengunjung

KLIA adalah infrastruktur penting melonjakkan daya saing negara kita dalam arena antarabangsa, termasuk menarik pelaburan dan pelancongan. Peranan KLIA bukan sahaja sebagai pintu masuk pengunjung antara bangsa, tetapi juga kepada para pelabur asing dan barangan perdagangan. Peranan klia akan dapat diperkukuhkan lagi dengan perancangan yang berintegrasi dengan sektor-sektor lain, seperti perkhidmatan pengangkutan awam, perkhidmatan perniagaan, agensi pelancongan, agensi pelaburan, perkhidmatan awam dan sebagainya. Kita percaya dengan ‘networking’ dan kerjasama antara semua pihak yang berkaitan, keupayaan KLIA untuk bersaing dengan lapangan terbang utama di Asia Pasifik ini akan lebih kukuh.


3. Wilayah Lembah Klang 2 Sebagai Pilihan Pelaburan ICT

Dalam memainkan peranan sebagai tempat pilihan pelaburan, di samping penyediaan infrastruktur yang canggih di MSC, adalah amat penting kita menyediakan persekitaran kehidupan di Wilayah Lembah Klang 2 yang berkualiti. Ini termasuk menyediakan persekitaran yang sesuai untuk budaya kosmopolitan, terutamanya dalam konteks gaya hidup yang sihat, kepelbagaian kemudahan untuk rekreasi, kemudahan pendidikan antarabangsa, penggunaan laluan basikal dan sebagainya.

Dalam perancangan persekitaran yang berkualiti, antara aset yang perlu diberikan perhatian ialah penggunaan sumber sungai dan pantai. Di negara kita pada masa lalu sumber sungai tidak begitu diberikan perhatian dalam pembangunan. Sungai-sungai menjadi tempat penyaluran bahan buangan dan tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Ini berbeza di negara maju, di mana sungai-sungai telah dieksploitasi secara optimum. Potensi kepelbagaian gunaan sungai telah diberikan perhatian khusus dalam perancangan. Contohnya, di London, pembangunan rangkaian sungai telah diberikan tumpuan khusus dengan strategi yang dinamakan ‘blue ribbon network’. Kerajaan negeri berpendapat strategi seperti ini boleh diterima pakai dalam membangunkan sumber sungai di Wilayah Lembah Klang 2, di mana di samping pemeliharaan bio-diversiti, sungai juga perlu dimanfaatkan untuk aktiviti rekreasi, pelancongan, pengangkutan air dan aktiviti ekonomi lain yang sesuai.

Selain itu, berdasarkan Bengkel yang telah diadakan pada 23 Januari 2006, Enam (6) inisiatif telah dirangka bagi memastikan kesempurnaan dalam perancangan dan pelaksanaan pembangunan di Wilayah Lembah Klang Kedua. (WLK2). Inisiatif tersebut adalah :

i) Galakan dan sokongan kepada pertumbuhan ‘business’ global dan tempatan ;

ii) Infrastruktur pengangkutan dan komunikasi yang cekap ;

iii) Pembangunan tenaga manusia yang berkualiti dan berkemahiran tinggi ;

iv) Persekitaran kehidupan yang berkualiti ;

v) Tadbir urus yang baik (good governance) ; dan

vi) Ekuiti dan penyusunan semula masyarakat.

 

APAKAH PERKEMBANGAN TERKINI PELAKSANAAN PEMBANGUNAN WILAYAH LEMBAH KLANG KEDUA?

Proses perancangan di Wilayah Lembah Klang 2 adalah dibahagi kepada tiga (3) peringkat seperti berikut:-

i) Menyediakan Pelan Strategi Wilayah Lembah Klang 2. Pelan ini telah disediakan dan rujukan utama ialah Rancangan Struktur Negeri.

ii) Menyediakan Pelan Tindakan Wilayah Lembah Klang 2. Penyediaan pelan ini disediakan berdasarkan Rancangan Tempatan yang telah disediakan oleh PBT yang berkaitan. Di peringkat ini prosiding Bengkel Pelaksanaan Pembangunan Wilayah Lembah Klang II boleh dijadikan rujukan.

iii) Menyediakan perancangan projek bagi melaksanakan dasar strategi atau projek yang digubal atau dikenal pasti di peringkat (ii). Di peringkat ini tumpuan ketika ini diberi kepada projek-projek pembangunan yang telah diluluskan di Wilayah Lembah Klang 2 seperti projek tebatan banjir di Kuala Langat, Pusat Pentadbiran Daerah baru di Sungai Sedu atau projek Gold Coast di Sepang.

Pada masa ini perancangan di Wilayah Lembah Klang 2 sebahagian besarnya masih di peringkat kedua. Sungguhpun begitu pelarasan projek perlu dibuat secara teliti bagi memastikan perancangan dan pembangunan di kawasan Lembah Klang II ini lebih mantap.

Maklumat-maklumat semasa berhubung WLK2 juga boleh diperolehi melalui laman web di alamat http://www.wlk2.com yang bertujuan memberikan penerangan kepada semua pihak mengenai perancangan dan pelaksanaan pembangunan di Wilayah Lembah Klang Kedua.

 
Sila emel sebarang makluman anda ke admin@wlk2.com atau klik di sini.
Portal Negeri Selangor
MP Sepang
MD Kuala Langat
Laman Web MB
© Hakcipta Terpelihara 2007 | Unit Perancangan Ekonomi Negeri Selangor Darul Ehsan
Kerajaan Negeri Selangor tidak bertanggungjawab terhadap apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat, atau daripada kecacatan atau kesilapan kandungan di dalam laman web ini.