versi cetak
Pertumbuhan ekonomi pada masa hadapan memerlukan tenaga
buruh yang berkualiti tinggi, serba boleh dan cepat menyesuaikan
diri kepada perubahan keadaan perindustrian dan semasa. Tenaga
kerja mahir dan produktif adalah prasyarat untuk mengekalkan iklim
pelaburan yang menggalakkan dan daya saingan keluaran Malaysia
dan Negeri Selangor di pasaran dunia. Untuk memenuhi keperluan
ini, sistem penyampaian pendidikan dan latihan perlu menjadi lebih
responsif kepada keperluan pasaran buruh yang dinamik.
Di kawasan Wilayah Lembah Klang 2, tumpuan diberikan bagi
menyediakan kemudahan dan keperluan kepada penduduk luar
bandar untuk meningkatkan taraf pendidikan dan kemahiran mereka
bagi meningkatkan peluang dan penyertaan dalam kegiatan sektor
moden. Ini akan membantu menghapuskan ketidaksamaan kualiti
pendidikan dan latihan di antara kawasan bandar dan luar bandar
dan di kalangan berbagai lapisan masyarakat.
Dalam perancangan Wilayah Lembah Klang 2,
keperluan terhadap tenaga buruh yang mempunyai asas
pendidikan yang luas dengan penekanan kepada bidang
matematik dan sains serta kebolehan berkomunikasi serta
fasih berbahasa Inggeris sebagai bahasa kedua amat dipentingkan.
Permintaan kepada tenaga kerja berkemahiran tinggi telah
menggalakkan pertumbuhan pusat-pusat pendidikan yang
berorientasikan bidang kejuruteraan, sains dan teknologi (S&T),
teknologi maklumat (IT) dan menggalakkan aktiviti Penyelidikan dan
Pembangunan (P&P) yang diguna pakai dalam pelbagai bidang di
Wilayah Lembah Klang 2.
Program-program pembangunan modal insan melalui
peningkatan bilangan dan kualiti tenaga manusia saintifik dan
teknologi ini bermula di peringkat pendidikan asas iaitu di
peringkat rendah dan menengah bagi membentuk pelajar-pelajar
yang mempunyai asas pendidikan yang kukuh. Penyebaran yang
meluas bahan-bahan maklumat S&T, akan membantu lagi usaha
meningkatkan kesedaran S&T di kalangan pelajar dan masyarakat.
Selain itu, hubungan yang berkesan di antara sektor awam,
pihak industri dan para akademik sentiasa dipupuk. Pertukaran
ilmu dan maklumat di antara pakar tempatan dan pihak luar akan
membantu langkah awal bagi memperdagangkan hasil penyelidikan
industri yang berdaya maju. Ini seterusnya menggalakkan
penyelidikan tempatan yang berorientasikan pengguna menembusi
pasaran di peringkat glokal dan global.
|